Pada 25hb Feb 2017, JWJ telah menganjurkan ekspedisi JWJM4-M2 iaitu siri jelajah Malaysia ke-2 sempena JWJM4-Malaysia ~ Jeddah 2017. Siri jelajah ke-2 ini juga di anjurkan oleh entiti yang sama iaitu Persatuan Seni dan Budaya Warisan Melayu Jawi (WarisAlam), Majmak Budaya dan Warisan Jawi (Majmak) dan Blackwind Adventure Team (BAT).

Pada bulan Disember 2016, siri JWJM4-M1 telah menjelajah ke utara semenanjung Malaysia dan pada siri ke-2 ini zon pantai timur dan selatan tanahair menjadi pilihan iaitu meliputi Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Perjalanan konvoi JWJM4-M2 bermula di UIA, Gombak Selangor pada jam 2.30 pagi dengan disertai sebanyak 5 buah kenderaan 4x4 dari pasukan BAT. JWJM4-M2 kali ini dianggotai seramai 15 orang ahli yang meliputi 5 orang pemandu 4x4 dari BAT, 6 orang penuntut universiti dari UIA dan UniKL dan 4 orang ahli persembahan budaya dari WarisAlam.

Hentian pertama yang disinggahi oleh pasukan JWJM4-M2 adalah di Padang Tengku, Kuala Lipis untuk solat subuh dan sarapan pagi kemudian konvoi meneruskan perjalanan menuju ke Gua Musang, Kelantan seterusnya ke Felda Aring 5 untuk bersama masyarakat orang asli di sana. Pihak JWJM4-M2 telah menyampaikan bantuan makanan asas seperti beras, minyak masak, tepung, gula dan lain-lain dalam melaksanakan visi kemanusiaan. Di samping itu juga sebanyak 16 buah naskhah Al-Quran sumbangan dari Yayasan Restu juga turut disampaikan kepada masyarakat orang asli di sini yang rata-ratanya beragama Islam.

KonvoiJWJM4-M2 meneruskan perjalanan menuju ke Chiku, Kelantan untuk mengisi minyak dan makan tengahari sebelum meneruskan perjalanan menuju ke Kg Buluh di Kuala Berang, Terengganu untuk misi penyelidikan Batu Bersurat. Setelah beberapa penyelidikan dibuat, konvoi JWJM4-M2 kemudiannya singgah di masjid Kg Buluh, Kuala Berang untuk menunaikan solat zuhur dan asar. Konvoi JWJM4-M2 mula bergerak menuju ke Kuala Terengganu pada jam 6.00 petang. Destinasi kami seterusnya ialah di Sek Men Sains Kuala Terengganu untuk sesi motivasi pelajar yang dikendalikan oleh pelajar-pelajar universiti yang turut bersama dalam ekspedisi ini. Sesi motivasi hanya tamat pada jam 9.30 malam.

Perjalanan JWJM4-M2 diteruskan tetapi sebelum itu kami singgah untuk makan malam dalam perjalanan menuju ke Marang. Ekspedisi pada kali ini lebih mencabar apabila kami hanya bermalam di masjid untuk melepaskan lelah sebelum meneruskan perjalanan ekspedisi dan masjid yang disinggahi oleh konvoi adalah masjid Rusila di Marang, Terengganu. Keesokannya selepas menunaikan solat subuh berjemaah, kami meneruskan perjalanan ekspedisi menuju ke Bukit Goh, Kuantan Pahang dan dalam perjalanan kami singgah untuk menikmati sarapan pagi masakan masyarakat Terengganu di  Marang. Kami perlu berada di Kuantan pada jam 12.30 tengahari dan perjalanan masih lagi jauh dan tanpa berlengah kami meneruskan perjalanan menuju ke Kuantan tetapi sempat juga kami singgah sebentar untuk membeli keropok lekor untuk dibawa pulang sebagai ole-ole.  

Konvoi JWJM4-M2 selamat tiba di Sekolah Tahfiz Anwarul Tanzil Al-Othmaniah Bukit Goh, Kuantan dan kami disambut oleh guru-guru dan pelajar-pelajar tahfiz di sekolah ini. Di sekolah tahfiz ini kami telah mempersembahkan persembahan budaya dari ahli Waris Alam seperti kompang dan silat tari. Pelajar-pelajar sekolah ini juga telah diberi motivasi oleh pelajar-pelajar universiti dari UIA dan selepas itu kami menyerahkan sumbangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, tepung, gula, susu dan lain-lain lagi kepada mereka disamping naskhah Al-Quran sumbangan dari Yayasan Restu. Selepas menunaikan solat zuhur,kami dijamu makan tengahari oleh pihak madrasah.

Perjalanan konvoi JWJM4-M2 diteruskan lagi dan kali ini destinasi kami ialah rumah anak-anak yatim dan miskin di Sebekah, Pahang iaitu Rumah Anak Yatim & Miskin Nur Iman. Kami mengambil masa hampir 1 jam di sini mempersembahkan persembahan budaya seperti kompang, silat tari, permainan tradisi melayu sebelum diikuti dengan sesi motivasi pelajar. Sebelum meninggalkan anak-anak yatim ini, pihak JWJM4-M2 telah menyampaikan bantuan dan sumbangan keperluan asas dan naskhah Al-quran kepada mereka.

Destinasi kami seterusnya ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Segamat, Johor iaitu lagi 135 km sebelum sampai di sekolah ini. Konvoi akan melalui jalan persekutuan Bandar Muazam-Segamat yang sedang dibaik pulih dan dijangka akan mengambil masa 1 1/2 jam untuk tiba di Segamat. Kami tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Segamat pada waktu maghrib. Di sekolah ini para pelajar universiti dari UIA dan UniKL akan memberi ceramah motivasi dan tunjuk ajar kepada para pelajar di sini di mana mereka akan menghadapi peperiksaan pada keesokannya. Pihak sekolah telah bermurah hati untuk membenarkan kami bermalam di sini. Keesokannya, selepas menunaikan solat subuh dan seawal pukul 7:30 pagi kenderaan konvoi ekspedisiJWJM4-M2 telah siap berbaris untuk sesi "Flag-off" oleh Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Segamat. Sebelum meninggalkan sekolah ini pihak JWJM4-M2 telah menyerahkan senaskah buku "KIAS TERSIRAT" sebagai tanda kenangan.

Konvoi JWJM4-M2 diteruskan dan UiTM Jasin, Melaka menjadi destinasi kami berikutnya. Konvoi JWJM4-M2 tiba di UiTM, Jasin dalam keadaan hujan lebat dan kami telah disambut oleh Rektor UiTM Jasin, Y.Bhg.Prof Madya Dr Mohd Adnan Hashim dan staff. Kami mengambil masa hampir 2 jam di sini untuk menyajikan persembahan budaya dan sesi bedah buku "KIAS TERSIRAT" oleh penulisnya Sdr Herman Bin Abdullah kepada tuan Rektor, staff dan para pelajar di sini. Kami dijamu makan tengahari oleh warga UiTM Jasin. Terima kasih daun keladi di ucapkan.

Dalam meneruskan perjalanan menuju ke Rumah Orang2 Tua di Cheng Melaka iaitu destinasi JWJM4-M2 yang berikutnya, hujan telah turun dan kenderaan 4x4 kami terpaksa mengharungi hujan yang turun dengan lebatnya. Sampai di simpang di Serkam, salah sebuah kenderaan 4x4 ekspedisi telah mengalami kerosakan dan keputusan telah dibuat untuk konvoi berpecah kepada 2 kumpulan iaitu 2 buah kenderaan terpaksa tinggal untuk menyelesaikan masalah kerosakan dan 3 buah kenderaan lagi meneruskan perjalanan. Di Rumah Orang2 Tua di Cheng, kami telah menyampaikan bantuan keperluan makanan. 

Konvoi 3 buah kenderaan 4x4 meneruskan perjalanan untuk menyelesaikan misi JWJM4-M2 iaitu menuju ke Istana Seri Menanti dan makam Raja Melewar untuk kajian sejarah.

Anggota dan kenderaan konvoi JWJM4-M2 bersatu kembali di RNR Seremban pada jam 9:30 malam dan seterusnya meneruskan perjalanan pulang. 

JWJM4-M2 kali ini hanya mengambil masa 3 Hari 2 Malam dengan jarak perjalanan hampir 1,200 km demi menyelesaikan misi kemanusiaan, kebudayaan, pendidikan dan kajian sejarah. Pihak JWJM4-M2, mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yayasan Restu Shah Alam, Kelab Kakitangan TNB dan Alumni UIA atas sumbangan yang telah di berikan untuk disalurkan kepada golongan-golongan yang kurang berkemampuan. Semoga Allah SWT jua yang membalas budi tuan-tuan.

JWJM4-M2 ini adalah sebagai percubaan dan latihan kepada pengembaraan kami yang sebenar dan lebih menuju ke Jeddah, Arab Saudi yang jaraknya menghampiri 24,000 km untuk di selesaikan dalam tempoh 100 hari. Perbezaannya, jelajah kami mempunyai misi dan visi yang tersendiri dan itulah yang membezakan kami dengan yang lain-lain.