Bangkok, Thailand
17 hb Jun 2011, Jumaat - Konvoi tidak pernah merencanakan singgah ke Bangkok sebelum ini namun kerana salah sebuah kenderaan mengalami masalah alternator, maka konvoi terpaksa masuk ke Bangkok untuk mendapatkan alat ganti.
Dalam perjalanan konvoi terpaksa berhenti untuk masak sendiri kerana tidak menemui kedai makanan Islam di sepanjang jalan.
Masak di tepi jalan utuk makan semasa menuju ke Bangkok
Mengisi minyak kenderaan di Petronas sebelum masuk ke Bangkok
Perjalanan semalaman menuju ke bangkok ini amat jauh dan memenatkan. Konvoi di jalanraya sejauh 750 km lebih dan terpaksa berhenti beberapa kali bertukar pemandu. Akhirnya tiba juga di kota Bangkok setelah jam 6.30 pagi melebihi 14 jam memandu.
Memasuki kota Bangkok seawal pagi untuk mengelak jam
Di atas jalanraya kota Bangkok yang sesak
Konvoi terpaksa melalui jalan yang cukup sesak dalam kota Bangkok dan meletakkan semua kenderaan di kawasan berhampiran stadium dan dari sini semua anggota konvoi bergerak dengan taksi dan tut-tut sahaja.
Penerangan ringkas kepada ahli konvoi di tempat letak kenderaan
Menaiki tut-tut di kota Bangkok
Konvoi tidak akan berada lama di sini, hanya sekadar sarapan pagi di kawasan Petchaburi, melawat masjid Darul Aman yang berhampiran, menyelesaikan masalah alternator dan akhirnya akan keluar semula dari kota yang sesak ini menuju ke Surat Thani untuk bermalam buat kali terakhir di negara Thailand, sebelum masuk semula ke Malaysia.
Lawatan ke masjid Darul Aman, Bangkok
Namun dalam masa yang singkat ini, para anggota cukup pandai mengambil kesempatan menuju ke beberapa tempat hasil penerangan ahli JWJ tahun lepas yang telah sampai ke Bangkok, untuk membeli belah di China Town, barangan dari China yang murah-murah di sana.
Membeli belah di China Town, Bangkok
Konvoi JWJ2 melepasi keluar kota Bangkok pada jam 3.15 petang menuju ke Surat Thani.
Chumphon, Thailand
Konvoi tidak dapat meneruskan perjalanan ke Surat Thani yang terletak lebih dari 660 km dari Bangkok. Konvoi JWJ2 menghadapi masalah apabila kenderaan BAT02 mengalami masalah gandar tayar belakang, masalah yang sama dihadapi ketika di Seam Reap semasa perjalanan pergi dan kali ini berlaku sekali lagi semasa perjalanan pulang. Walau bagaimanapun kami bersyukur kerana ianya berlaku di negeri Thailand di mana "spare part" mudah diperolehi. Kenderaan BAT02 tidak mampu bergerak langsung semasa melepasi pekan Prachuap Khiri Khan. Konvoi JWJ2 mengambil keputusan untuk berpecah kepada 2 dua kumpulan, 2 buah kenderaan akan bermalam dan tinggal di Prachuap Khiri Khan untuk memperbaiki kerosakan yang dihadapi pada hari esoknya manakala 8 buah kenderaan 4x4 kami akan meneruskan perjalanan.
Gandar belakang kenderaan 4x4 yang patah
Keletihan setelah 2 hari perjalanan tanpa berhenti rehat
Setelah sekian lama berbincang, akhirnya diputuskan dua kenderaan akan tinggal di Prachuap
Kami berpisah kepada 2 kumpulan pada anggaran jam 10.30 malam dan kumpulan yang tinggal hanya bermalam di sebuah motel kecil yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian. Konvoi selebihnya meneruskan perjalanan tetapi oleh kerana terlalu keletihan setelah memandu dan tidak tidur malam sejak berlepas dari Chiang Mai 2 hari yang lepas, konvoi tidak mampu sampai ke Surat Thani dan kami memilih Chumphon untuk berhenti bermalam dan melepaskan lelah.
Menuju ke Chumpon untuk bermalam
18 hb Jun 2011, Sabtu - Seawal jam 7.00 pagi lagi konvoi utama dengan 8 kenderaan telah siap sedia untuk bergerak pulang dan konvoi akan bergerak sejauh lebih dari 545 km untuk sampai di sempadan Thailand-Malaysia di Bukit Kayu Hitam. Namun keputusan baru perlu dibuat apabila kami menerima berita bahawa sekretariat program telah menerima wang fidyah dan wang tersebut perlu disalurkan kepada fakir miskin. Sekali lagi konvoi terpaksa berpecah apabila keputusan dibuat iaitu sebanyak 6 buah kenderaan 4x4 akan meneruskan perjalanan ke sempadan Thailand-Malaysia manakala 2 buah kenderaan lagi akan menuju ke Muang Kluang, Ranong untuk menyampaikan wang fidyah yang baru diterima dari Malaysia.
Menyampaikan sumbangan dan cenderahati kepada wakil di Muang Kluang
Sekarang, konvoi JWJ2 telah berpecah 3 kumpulan, dimana kumpulan 1, masih di Prachuap Khiri Khan untuk menyelesaikan masalah kesorakkan kenderaan, kumpulan 2 menuju ke sempadan dan kumpulan 3 menuju ke Muang Kluang. Konvoi akan bercantum semula di pintu sempadan nanti.
Pada jam 6.30 petang konvoi utama melepasi sempadan dan lewat jam 10.30 malam konvoi dua buah kenderaan dari Muang Kluang bertemu semula dengan konvoi utama di pintu sempadan sebelah Malaysia, akan tetapi konvoi yang tersangkut di Prachuap Khiri Khan tidak sempat sampai kerana perjalanan mereka masih lagi jauh. Konvoi 2 kenderaan tersebut terpaksa berhenti bermalam di Hadyai kerana pintu sempadan sudah tutup dan mereka akan menyeberangi sempadan pada keesokan harinya.
konvoi utama melepasi sempadan jam 6.30 petang
Konvoi utama yang mengandungi 8 buah kenderaan 4x4 kini telah bercantum di pintu sempadan Thailand-Malaysia dan akan meneruskan ke Baling, Kedah untuk bermalam kerana kami akan bersama dengan penduduk di sana esok harinya dalam majlis sambutan kepulangan konvoi Espedisi JWJ2 Merentas 7 Negara kembali ke Malaysia.
[Link : Berita menarik di Utusan : Misi JWJ2 hampir ke penghujung setelah 25 hari merentasi enam negara]
Baling, Kedah Malaysia
19 hb Jun 2011, Ahad - Hampir jam 4.00 pagi barulah 8 kenderaan konvoi selamat tiba di Baling, Kedah untuk bermalam di Home Stay Pak Long yang terletak berhampiran Kolam Air Panas, Legong.
Setibanya konvoi pada awal pagi itu kelihatan masih meriah di tempat tersebut bagai pesta di kunjungi oleh warga tempatan untuk bermandi-mandian di kolam air panas. Malah gerai jajan dan gerai teh tarik masih lagi di buka.
Hanya segelitir sahaja anggota konvoi sempat menjenguk di kolam tersebut dan selebihnya terus masuk tidur kerana esok harus bangun awal menyempurnakan acara sambutan kepulangan konvoi JWJ2 di Masjid Tok Bandar, Pulai, Baling.
Pada jam 9.00 pagi semua kenderaan telah siap sedia untuk berkonvoi menuju ke masjid tersebut dan setibanya konvoi di perkarangan mesjid, konvoi telah disambut sebegitu meriah dan kelihatan ramai pihak media dari media cetak dan TV sudah menanti dengan kamera masing-masing.
Sambutan dan bergambar bersama penasihat projek Datuk Abdul Azeez
Konvoi telah disambut bagi wira negara yang baru pulang dari pengembaraan membawa misi negara dari perjalanan yang jauh lagi lama waktunya.
Kompang rasmi JWJ2 direhatkan buat sementara
Majlis sambutan berjalan bergitu teruja sekali dan sessi temubual oleh pihak media turut dilansungkan bersama Datouk Abdul Azeez Abdul Rahim selaku penasihat projek JWJ2 tahun ini.
sessi temubual dengan pihak media
Selesai sahaja majlis yang bersejarah itu, konvoi bergerak pulang ke Kuala Lumpur. Akhirnya konvoi bercantum semula kesemua 10 kenderaan di Seberang Jaya dan kenderaan BAT03 yang tersangkut di awal perjalanan pun telah dikhabarkan selamat tiba di bengkel Blackwind Adventure Team, di Klang.
Bercantum semula kesemua 10 kenderaan konvoi
Konvoi pulang dengan satu pengalaman hidup yang terlalu besar dengan harapan segala matlamat JWJ2 akan terus terlaksana. Konvoi pulang dengan penuh harapan baru setelah merantau lebih 25 hari di bumi Melayu yang telah menjadi milik orang.
Menuju pulang ke Klang, Selangor
Sekian. Salam JWJ......
Berita mengenai JWJ2 dipetik : Malaysia/Islam:
Origins of Malay Muslims to be showcased