Sempadan Thailand-Cambodia

30hb Mei 2011, Isnin - Setelah mengharungi perjalanan yang cukup jauh sejauh 800 km, konvoi hanya sampai di Aranyaprathet pada jam 3.00 pagi.  Anggota konvoi hanya mempunyai masa rehat kurang dari 3 jam kerana terpaksa masuk ke pejabat Imigresen dan kastam, Cambodia seawal mungkin. Seawal jam 7.00 pagi semua anggota konvoi telah selesai mengadakan senaman pagi dan mula bergerak untuk bersarapan di sebuah kedai muslim Champa. Kemasukan ke negara Cambodia perlu melalui beberapa proses yang agak ketat kerana kami harus melaporkan kemasukan kenderaan 4x4 kami kepada pihak berkuasa Cambodia sebelum dibenarkan berkonvoi di dalam negara mereka. Lebih-lebih lagi pintu masuk dari Thailand ke Cambodia ini cukup sibuk dengan urusan perniagaan eksport dan import terutamanya perniagaan baju-baju terpakai dan kami mahu mendahului kenderaan besar seperti lori agar kami tidak tersangkut di sempadan sehingga petang.

thai-aran-senaman

Senaman pagi di motel oleh semua anggota konvoi

thai-aranyaphatet-makan

Kedai makanan muslim yang terdapat di Aranyaprathet

thai-aranyaprathet

Penerangan di sebuah restoran Muslim sebelum masuk ke Cambodia

border_cambodia

Aktiviti perniagaan di sempadan Thailand-Cambodia

Semua kenderaan JWJ 2 hanya melepasi keseluruhan prosedur masuk ke negara Cambodia pada jam 10.30 pagi dan para anggota konvoi mula sibuk untuk membeli kad pra-bayar telepon bimbit mereka untuk memudahkan perhubungan mereka dengan keluarga di Malaysia. Konvoi akan meneruskan perjalanan ke Seam Reap, Cambodia yang jaraknya hampir 170 km dari sempadan Aranyaprathet dan cabaran memandu di Cambodia bermula kerana pemanduan di negara ini adalah di sebelah kiri.   

[Berita perjalanan di Thailand tersiar di Utusan Malaysia : Perjalanan 2,100 kilometer sebelum masuk Kemboja dan Pesanan pertahankan jati diri Melayu]

Poipet, Cambodia

30 Mei 2011, Isnin - Setelah semua anggota konvoi dan kenderaan melepasi 'gate' sempadan Cambodia pada jam 10.30 pagi waktu tempatan dan kelihatan wajah-wajah tersenyum gembira terpancar di muka dikalangan anggota JWJ2 dan mereka sibuk mengambil gambar di sana sini untuk disimpan sebagai kenangan sepanjang hidup mereka disamping sedikit sibuk ke sana ke mari cuba untuk menbeli kad 'prepaid' telefon cambodia dan menukar matawang.

cam-aranyaprathet

Pintu masuk ke Cambodia di Poipet

cam-periksa jpj

Pemeriksaan kenderaan di sempadan

Perjalanan seterusnya adalah ke Seam Reap untuk melawat dan membuat kajian ke tapak warisan sejarah 'Angkor Wat', salah satu keajaiban dunia yang diwartakan oleh UNESCO. Yuran masuk yang dikenakan adalah sebanyak USD10, dan di Cambodia selain matawang Riel (matawang Cambodia) matawang USD juga sering digunakan sebagai matawang perantaraan. Terasa la juga mahalnya apabila kita menggunakan matawang USD. Terdapat perbezaan yang nyata pada pemerhatian kami apabila rata-rata yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Seam Reap ini adalah dari kalangan orang-orang Khmer manakala kehidupan warga Cambodia berketurunan Melayu Champa yang dianggarkan berjumlah 700 ribu orang masih lagi tinggal di kampung-kampung yang terpencil dan kalau adapun di bandar-bandar besar adalah terdiri daripada mereka yang berniaga.

cam-kg semboa

Suasana kampung Melayu di Cambodia

Lagi sekali di Siem Reap konvoi kami menghadapi masalah kenderaan apabila setelah bergerak hampir 170 km dari sempadan Thai/Cambodia. Selepas makan tengahari di sebuah restoran D'Wau milik orang Champa dan dalam perjalanan ke Angkor Wat, kenderaan BAT02 telah mengalami kerosakan yang agak serious.

cam-d'wau

Selera sungguh makan di restoran ini

Konvoi terpaksa berpecah kepada dua kumpulan, 8 kenderaan meneruskan perjalanan ke Angkor Wat dan kemudian terus ke Kampung Semboa yang terletak di dalam wilayah Kampong Champa. Dua buah kenderaan lagi terpaksa bermalam di Siem Reap untuk kerja-kerja perbaikan kenderaan yang rosak. Anggota seramai 5 orang yang tertinggal telah bermalam di sebuah hotel milik orang Melayu Muslim Champa yang terletak di tengah bandar Siem Reap.

jwj_4x4_siemreap

Kawasan parking di depan Angkor Wat

cam-angor watt

Bergambar di Angkor Watt

cam-angkor Thom

Melawat ke Angkor Thom

Kampong Semboa, Cambodia

31 Mei 2011, Selasa - Anggota konvoi dengan 8 buah kenderaan 4x4 telah bergerak menuju ke Kampong Semboa, Wilayah Cham pada hampir pukul 10 malam dan kami terpaksa meneruskan juga perjalanan di waktu malam walaupun pada mulanya pihak "Ground Handler" agak keberatan untuk memandu kami di waktu malam. Namun setelah berkali-kali memujuk "Ground Handler" dan setelah kami menjelaskan bahawa program kami di Kg Semboa telah diatur terlebih dahulu dan kami perlu berada di sana sebelum jam 8 pagi waktu Malaysia, akhirnya pihak "Ground Handler" bersetuju membawa kami. Namun kami terpaksa menempuh perjalanan sejauh lebih dari 450km dan terpaksa berhenti beberapa kali akibat kerosakan kecil yang di alami oleh kenderaan kami. Memandu di waktu malam di Cambodia merupakan satu cabaran lebih-lebih lagi dengan pemanduan disebelah kiri ditambah lagi dengan keadaan jalan yang gelap dan sempit. Patutlah "Ground Handler" keberatan untuk menunjuk arah di waktu malam kerana memandu di waktu malam di Cambodia khususnya di jalan luar bandar memang merbahaya sekiranya tidak fokus dan "alert". Disinilah perlunya kecekapan dan penumpuan yang penuh kepada pemanduan.

Setelah melalui satu perjalanan yang panjang tanpa henti dan tidur akhirnya konvoi sampai di Kg Semboa sekitar jam 7.45 pagi. Sesampainya kami di sini (Maahad Agama Kg Semboa), hampir seluruh penduduk kampung telah menanti ketibaan kami seawal jam 6.30 pagi dan sambutan yang diberikan memberi satu pengalaman yang cukup sayu kepada setiap anggota JWJ2 bahkan ada beberapa anggota tidak dapat menahan sebak sehingga menitiskan air mata. Seramai hampir 600 orang pelajar sekolah dan penduduk kampung telah berbaris kiri dan kanan jalan kampung untuk menyambut kehadiran kenderaan konvoi sambil menghulur tangan mereka bersalaman.

jwj_4x4_backview_cambodia 

jwj_4x4_cambodia_semboa

Jalan off-road sejauh 10km ke Kg Semboa

cam-semboa-berbariscam-semboa-baris

Konvoi ekspedisi JWJ2 di sambut oleh para pelajar dan penduduk kampung

Rakan-rakan konvoi disambut begitu meriah sekali seolah-olah mereka menyambut rombongan orang kenamaan atau orang yang penting dalam hidup mereka. Para peserta konvoi terasa tersentuh hati dan sebak serta serba keliru lebih-lebih lagi seteelah menempuh perjalanan hampir 12 jam dengan jarak sejauh lebih dari 450 km dari Siem Reap ke kampung ini dan ketibaan konvoi pada jam 8 pagi melalui 10 km jalan off-road untuk ke sekolah, disambut dengan sebegini rupa.

cam-semboa-laparnya

Lapar sangat kerana semalaman tidak makan

Pengalaman hidup seperti di kampung  zaman era 70an dilalui oleh para anggota JWJ2, makan berhidang, duduk bersila dan mandi di telaga menjadikan ia bagai satu pesta membuatkan mereka merasa cukup seronok dan penat lelah mengharungi perjalanan semalaman hilang serta merta.

Cam-semboa-telaga

Segar badan mandi air telaga

Para anggota ekspedisi juga tidak melepaskan peluang beramah mesra dengan penduduk kampung, pelajar dan anak-anak di kampung ini dengan memperkenalkan Bahasa Melayu melalui permainan mengira dan ganjarannya adalah upah biskut empat segi yang dibawa dari Malaysia.

cam-semboa-kira

Mari mengira dalam bahasa Melayu, satu...dua...tiga...empat

cam-semboa-biskut

sesiapa turut mengira, maka biskut dia akan dapat

Setelah selesai, para anggota ekspedisi mengadakan pula aktiviti bersama penuntut sekolah Agama dan penduduk kampung. Persembahan kompang, silat dan marhaban menjadi hidangan kepada mereka hasil persembahan dari anggota JWJ2. Sebagai balasan, nyanyian nasyid dipersembahkan pula oleh pelajar-pelajar dari kampong Semboa.

cam-semboa-kpang

Pasukan kompang JWJ2

cam-semboa-silatcam-semboa-cekak

Persembahan silat dari JWJ2

cam-semboa-marhaban

Marhaban dari anggota konvoi

cam-semboa-wakitah

Pembacaan wakitah Jejak Warisan Jawi

cam-semboa-ngaji

Bacaan Al-Quran dari wakil Sekolah Agama Amanullah

Selain itu anggota konvoi sempat mengadakan perlawanan persahabatan bola sepak dan sepak raga dengan pelajar2 di sini dan sudah tentulah pasukan konvoi dikalahkan dalam perlawanan bola sepak oleh anak2 muda yang cergas lagi bertenaga.

cam-semboa-takraw

Bermain sepak raga dengan pelajar dan orang kampung

cam-semboa-bolacam-semboa-bola2

Dua pasukan bertarung, pasukan JWJ2 tewas 2-1 dengan pasukan Semboa....penat kot!!

Konvoi mula bergerak dari kampong itu setelah selasai makan bersama pada tengahari yang turut disertai oleh Datuk Amanullah, seorang dermawan dari Malaysia yang membangun sekolah ini kira2 10 tahun yang lalu.

cam-semboa-amanullah

Datuk Amanullah yang banyak membantu membina sekolah ini

cam-semboa-wajah

Merakam wajah-wajah Melayu di kampung ini

Anggota konvoi meninggalkan kampung Semboa ini dengan penuh kenangan setelah menghayati suasana kampung yang tersimpan sejuta kisah suka duka serta di wajah-wajah penghuninya terbuku sejernih harapan di dalam dada mereka.

cam-semboa-comelcam-kg semboa2cam-semboa-rumah2cam-semboa-rumah

Wajah desa serta para penghuni Kg Semboa

Lokasi seterusnya ialah ke Kampong Chumnik di dalam wilayah yang sama, Kampong Cham, Cambodia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *