Kampung Chumnik, Cambodia
Mengharungi perjalanan di bumi Cambodia memang menjerihkan. Keadaan jalan yang tidak sampai 60 peratus berturap dan sekalipun berturap tetapi berlubang-lubang menyukarkan kenderaan 4x4 kami dipandu dengan laju. Tambahan lagi dengan cuaca yang kering menyebabkan jalan berdebu dan jarak penglihatan kami agak terbatas.
Akhirnya, berjaya juga kami sampai ke destinasi kami yang seterusnya iaitu Kg Chumnik di dalam wilayah Kampong Cham sekitar pukul 7.00 malam di mana konvoi tiba di masjid Kampong Chumnik dan tuan imam serta penduduk kampung sudah sedia menanti konvoi JWJ2 walaupun hampir 4 jam kelewatan. Konvoi tidak menduga sama sekali bahawa perjalanan di Cambodia ini memerlukan masa yang panjang walaupun jarak antara sesuatu tempat tidaklah bergitu jauh.
Sambutan meriah oleh penduduk walaupun konvoi tiba pada waktu malam
Disamping keadaan jalan yang tidak menentu, pemanduan di Cambodia memerlukan perhatian yang tinggi kerana pelbagai jenis pengangkutan akan berada di jalanan termasuklah basikal, kereta lembu, kereta kuda dan jentera kabota turut menggunakan jalanraya yang sempit bersama. kadang-kadang tu jalan raya juga digunakan untuk menjemur padi.
Kereta kuda juga menjadi pengangkutan utama di kampung
Anggota JWJ2 seramai 5 orang dengan 2 buah kenderaan 4x4 yang terpisah semasa di Seam Reap tiba pada malam yang sama kira-kira jam 8.00 malam. Masalah kenderaan 4x4 BAT02 telah dapat diselesaikan dengan bantuan sepenuhnya oleh pemilik hotel Melayu Champa di Seam Reap, dimana tempat mereka menginap.
Di Kampung Chumnik para anggota konvoi telah disediakan rumah-rumah kampung sebagai tempat mereka bermalam bersama keluarga Melayu Cham. Malah makanan malam sudah turut disediakan, masakan Melayu Cham dengan hidangan sup ikan hasil tangkapan dari sungai Mekong menjadi santapan kami malam itu. Sungai Mekong hanya terletak kira-kira 100 meter di hadapan mesjid Kampong Chumnik ini. Saban tahun berlaku juga banjir besar akibat limpahan air Sg Mekong di Kg Chumnik ini.
Masakan masyarakat Melayu Cham...simple dan fresh!
"Hotel" tempat kami menginap...sejuk tanpa air-cond!
Satu perkara yang menyeronok para anggota konvoi ialah para tuan rumah kesemuanya masih boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Ini mungkin kerana mereka terdiri dari generasi tua, akan tetapi anak-anak muda hanya sekadar boleh bertutur bahasa Cham selain bahasa rasmi negara, bahasa Cambodia.
Bahan bacaan sejarah yang terdapat di salah sebuah rumah
Pada jam 1.00 pagi, majlis penyembelihan 2 ekor lembu dijalankan oleh penduduk kampong, hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui program aqiqah anjuran JWJ2. Hanya sebahagian anggota sahaja yang turut serta manakala sebahagiannya sudah nyenyak tidur di buai mimpi, keletihan mengharungi perjalanan malam sebelumnya, perjalanan dari Seam Reap di waktu malam tanpa tidur.
1hb Jun 2011 – Pagi-pagi lagi anggota konvoi sudah bangun, selepas sarapan pagi di rumah penginapan masing-masing, para anggota telah melawat pasar pagi di tebing sungai Mekong dan seterusnya melawat kampong Melayu di sini. Aktiviti kampung di sini samalah seperti di Malaysia kira-kira 30 tahun dahulu. Mereka hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dan boleh dikatakan kebanyakan daripada mereka bekerja sendiri sebagai petani nelayan sungai Mekong atau berniaga kecil-kecilan.
Pasar pagi di Kampung Chumnik, di tebing Sungai Mekong
Minum kopi di gerai yang terdapat di pasar pagi
Menanti tangkapan ikan hasil dari Sg Mekong
Selesai lawatan, acara kebudayaan bersama penduduk dilaksanakan dan turut dihadiri oleh Timbalan Gabenor serta Mufti wilayah Kampong Cham. Pelbagai persembahan dari kedua2 pihak termasuk persembahan nyasid dari kanak2 di kampong ini.
Masjid Kg Chumnik
Persembahan kebudayaan dari konvoi JWJ2
Mari belajar tulisan jawi
Selesai persembahan dan sumbangan kemanusiaan termasuk zakat oleh pegawai Lembaga Zakat Selangor, kesemua hadirin bersama makan tengah hari berlauk gulai daging hasil sembelihan pagi tadi.
Sumbangan dari wakil Lembaga Zakat Selangor
Bahan bacaan bertulisan jawi, sumbangan dari Utusan Melayu
Sumbangan baju dari Kelab Putera 1 Malaysia
Gambar bersama
Berebut mendapatkan pamplet pelancongan Malaysia
Asyik melihat wartawan Utusan menyiapkan berita
Destinasi seterusnya adalah Phnom Penh. Konvoi telah dipandu arah oleh kenderaan seorang ustaz untuk melalui jalan pintas ke Phnom Penh, melalui jalan kampung dan dusun agar dapat singgah sebentar di sebuah pusat pengajian agama di kampung Cermin sebelum masuk kembali ke jalanraya bertar ke bandar Phnom Penh.
Doa Selamat dibaca oleh Pengarah konvoi
Sumbangan dari Akhbar Utusan Melayu dan Pelancongan Malaysia
Sumbangan kewangan oleh anggota konvoi
Di sekolah agama tersebut, konvoi sempat melaksanakan majlis doa selamat untuk kesejahteraan perjalanan konvoi JWJ2 dan agar anak-anak murid di pusat pengajian tersebut bakal menjadi anak-anak Melayu yang berjasa kepada bangsa khususnya di Cambodia.
Phnom Penh, Cambodia
Sesak dengan pengguna jalan raya tanpa mematuhi undang-undang serta lampu isyarat jalan, pemandu kenderaan konvoi terpaksa berhati-hati mencelah untuk memastikan konvoi tidak terpisah dan sampai ke Hotel New York untuk bermalam. Semua anggota selamat tiba dan makan malam telah disediakan di restoran Melayu D’Wau yang terletak bersebelahan lobi hotel.
2hb Jun 2011, Khamis – Seawal pagi lagi anggota konvoi sudah keluar dengan menaiki ‘tut tut’ sejumlah 10 buah untuk melawat sebuah mesjid yang bernama Masjid Saad ibni Waqas yang terletak di tengah bandar.
Menaiki Tut-Tut ke masjid
Bergambar di masjid bersama imam
Setelah bersiar selama sejam, konvoi membuat lawatan ke kedutaan Malaysia di Phnom Penh atas kunjungan hormat dan di sini konvoi di sambut oleh kedutaan kita serta semua pegawainya.
Bergambar bersama Duta Besar Malaysia di Phnom Penh
Selepas majlis ramah mesra dan jamuan pagi di kedutaan, konvoi terus bergerak ke sempadan Vietnam melalui pintu masuk Tinh Bien/Chau Doc kira-kira 150 km dari bandar Phnom Penh. Perjalanan ke pintu masuk Vietnam dari Phnom Penh agak sibuk dan para pemandu kenderaan konvoi terpaksa lebih berhati-hati. Mujur ada bantuan radio dua-hala dalam setiap kenderaan yang membantu para pemandu berkomunikasi dalam mengatur perjalan konvoi supaya lebih teratur dan selamat.
Mengisi borang-borang untuk melepasi sempadan Tinh Bien/Chau Doc
Kisah menarik tersiar di Utusan Malaysia :
Jejaki sejarah Melayu di Kemboja
Islam di Kemboja semakin subur khusus masyarakat Melayu Champa
An Giang, Vietnam
02 Jun 2011, Khamis - Konvoi melepasi sempadan Cambodia/Vietnam pada jam 4 petang melalui pintu Tinh Bien/Chau Doc, pintu sempadan yang jarang digunakan oleh para pelancung. Pintu masuk ini terpaksa dilalui oleh konvoi kerana berhampiran dengan kampung Melayu yang akan dilawati, kampung di Cau Fong yang terletak di daerah An Giang, selatan Vietnam.
Suasana di pintu sempadan Cambodia/Vietnam
Kenderaan orang kampung di sepanjang jalan
Konvoi tiba di kampung ini hampir jam 7.30 malam setelah kesemua kenderaan terpaksa menaiki feri kecil untuk menyeberangi sungai Mekong.
Menaiki feri menyeberangi Sg Mekong untuk ke Kg Cau Fong, An Giang
Setelah berehat sebentar di sebuah motel milik usahawan Melayu Cham, anggota konvoi dijemput mengadakan marhaban sempena majlis cukur jambul 3 orang anak-anak Melayu di sini.
Marhaban dan cukur jambul dijayakan oleh anggota konvoi
3hb Jun 2011, Jumaat – Pada jam 8.00 pagi konvoi membuat lawatan ke sebuah rumah orang termiskin di Kampong Cau Fong ini untuk menyampaikan sedikit sumbangan kewangan dan seterusnya ke masjid untuk majlis ramah mesra dan persembahan kebudayaan oleh konvoi bersama penduduk kampung di sini.
Lawatan ke rumah penduduk termiskin di Kg Cau Fong
Majlis berjalan dengan begitu meriah sekali dengan kehadiran penduduk melebihi jumlah 500 orang termasuk 150 orang fakir yang akan memerima sumbangan zakat dari Malaysia.
Masjid di Cau Fong, An Giang
Hadirin pada majlis di Kg Cau Fong
Sumbangan dari wakil JWJ2
Persembahan yang menarik oleh penduduk kampong ialah nyanyian nasyid dalam bahasa Cham oleh 4 orang jejaka Cham dengan iringan drum.
Persembahan lagu nasyid diiringi drum oleh pemuda Melayu Vietnam
Permulaan persembahan silat dari JWJ2
Program belajar jawi oleh wakil UIA
Majlis di masjid ini selesai pada jam 11.30 pagi dan anggota konvoi di bawa untuk melawat perusahan tenunan kain oleh penduduk kampung. Anggota konvoi sempat memborong pelbagai kain tenunan termasuk selendang dan kain telekung untuk dibawa balik ke Malaysia sebagai cenderahati.
Pengusaha tenunan kain dan membuat telekung
Rumah senibina Melayu
Selesai segala majlis dan kunjungan di kampung ini, konvoi JWJ2 menyeberangi semula Sungai Mekong dan mula bergerak ke Ho Chi Minh City.