Luang Prabang, Laos
Perjalanan kami kali ini cukup mencabar tetapi sungguh menyeronokkan. Laluan ke Luang Prabang sekali lagi melalui kawasan perkampungan orang asli Laos mendaki pergunungan yang cukup indah pemandangannya, laluan sejauh 320 km sehingga menjangkau ke puncak ketinggian melebihi 1000 meter dari paras laut.
Mengambil gambar sebelum jalan mendaki
Jalan menuju ke Luang Prabang
Berhenti melepaskan hajat...sejuk punya pasal!
Berhenti di gerai tepi jalan
Antara jualan di tepi-tepi jalan ke Luang Prabang
Inilah kali pertama anggota konvoi merasai suasana nyaman dengan udara sejuk sejak merentasi 7 negara. Bahang kepanasan cuaca sejak memasuki Cambodia mula terasa hilang apabila kami menjejak di liku-liku jalan gunung menuju ke Luang Prabang. Setelah hampir 10 jam dalam perjalanan dan berhenti beberapa kali untuk menukar pemandu dan mencuri kesempatan mengambil gambar permandangan indah dan gambar-gambar candit wajah-wajah orang tempatan, kami tiba di Laung Prabang lewat malam.
Seperti biasa, kami selalunya makan malam terlebih dahulu sebelum ke tempat penginapan. Di Laos ini amat sukar untuk konvoi mendapatkan makanan muslim selain di Vientaine. Maka kami memutuskan untuk makan di restoran yang menyediakan masakan bersayur atau masakan laut sahaja. Kadang2 terdengar rungutan ahli2 konvoi yang mengadu kejemuan mereka kerana asyik berlauk sayur dan sup ikan setiap kali makan di Laos ini. Terasa juga mereka nak perkena sambal belacan...... namun tak kesampaian.
Apapun anggota konvoi kerap makan nasi berlauk ikan kering dan kicap apabila terpaksa masak sendiri ketika terasa terlalu lapar di sepanjang perjalanan ekspedisi JWJ2 ini apabila tidak menemukan kedai makan yang sesuai.
Sejak awal lagi anggota konvoi telah dipesan untuk membawa sedikit bekalan makanan berserta dapur bagi setiap kenderaan dalam ekspedisi ini. Jelas, persiapan awal seperti ini menyelamatkan anggota konvoi dari kelaparan.
09 hb Jun 2011, Khamis - Tidur malam di Luang Prabang memang nyenyak beselimutkan dengan udara nyaman lagi sejuk dan anggota konvoi semuanya nampak segar di waktu pagi bagai giarah untuk melihat keindahan bandar Luang Prabang yang mempunyai percantuman bangunan lama pengaruh Perancis dan bangunan baru yang terletak di tebing sungai Mekong.
Permandangan di tebing sungai Mekong di Luang Prabang
Luang Prabang turut diistiharkan sebagai kota warisan bersejarah oleh Unesco kerana disinilah asal bandar kerajaan diRaja Laos sebelum kejatuhan sistem beraja dan setelah itu berpindah ibu kotanya ke Vientaine.
Beberapa anggota konvoi sempat melawat muzium Luang Prabang, bekas istana diRaja yang menempatkan koleksi raja-raja Laos sebelum ini. Malangnya pihak konvoi tidak dibenarkan mengambil foto di muzium ini, maka koleksi alat muzik diRaja Laos iaitu peralatan gamelan tidak dapat dibuktikan dalam bentuk foto sebagai persamaan alat muzik dengan warisan Melayu.
Selepas tengahari konvoi menuju seterusnya ke Botene, sempadan Laos dengan China.
Botene, Laos
Konvoi tiba di Botene kira2 jam 11.00 malam setelah lebih 10 jam perjalanan sejuah lebih 300 km. Lagi sekali terpaksa melalui jalan berliku dan memanjat banjaran gunung dan kali ini terdapat keadaan jalan yang agak teruk kerana tidak berturap. Apa pun konvoi tiba dengan selamat walaupun kenderaan BAT10 mengalami masalah brek, setelah diperbaiki oleh sdr Mizi selaku mekanik JWJ2.
Kali ini, setibanya di hotel yang terletak di bandar kecil sejauh 6 km dari sempadan China, konvoi terpaksa masak sendiri di kawasan letak kenderaan hotel sebelum memasuki bilik penginapan. Hanya berlauk telur goreng dan sardin, anggota konvoi mengisi perut sebelum masuk tidur awal kerana harus berada di pintu sempadan sebelum jam 8.00 pagi. Perkara ini harus dipatuhi kerana syarat memasuki China terlalu ketat dan pemandu kenderaan harus mengikuti pula kursus pemanduan di China untuk mendapatkan lesen memandu sementara di sempadan nanti.
Hotel di Botene
10 hb Jun 2011, Jumaat - Pagi-pagi lagi pada jam 7.30 seluruh anggota konvoi telah meninggalkan bandar Botene yang mempunyai pengaruh China. Pada jam 8.15 pagi konvoi sudah pun mula melepasi sempadan Loas dan menanti giliran untuk melepasi pula sempadan Mohan, China.
Pos imegresen di sempadan Laos-China
Lagi sekali, satu pengalaman baru bakal ditempuhi oleh anggota konvoi di negara China setelah menjelajah hampir 7,000 km.
Kisah menarik tersiar di Utusan Malaysia :
Mohan, China
Urusan untuk memasuki negara China memanglah ketat termasuk di pejabat Imigresen China dan juga pihak kastam, China. Kami terpaksa melalui pemeriksaan dokumen kenderaan, semburan kimia pada badan kenderaan dan akhirnya kursus pemanduan untuk mendapatkan lesen sementara China. Bagi mendapatkan lesen di negara China, disyaratkan kepada semua pemandu untuk mengikuti kursus dalam bahasa Mandarin, agak-agaknya macam mana nak faham. Nasib baiklah, pemandu pelancong atau ground handler yang bagi penerangan dalam bahasa Inggeris dan dapatlah kami lesen memandu di China. Hanya pemandu dan tuan punya kenderaan sahaja yang boleh menduduki kursus tersebut. Maknanya, hanya tuan punya kereta boleh memandu di China, penumpang dan co-pilot tidak boleh. Aduh! tak rehat la nampaknya pemandu, tetapi apa-apa pun kalau dah penat tukar saja la.
Konvoi melepasi sempadan pada jam 11.45 pagi, setelah selesai semua urusan di sempadan.
Semburan kimia ke badan kenderaan sebelum memasuki pintu sempadan
Pintu sempadan China
Kenderaan 4x4 sudah melepasi pemeriksaan kastam
Kursus memandu oleh ground handler
Lesen memandu di China
Seluruh anggota berasa cukup lega dan gembira memasuki negara China yang bakal mencecah perjalanan ekspedisi JWJ2 yang paling penghujung. Namun ada juga yang terasa sedikit sedih kerana sedar bahawa perjalanan ini akan tinggal beberapa hari sahaja sebelum menuju arah pulang.
Syarikat yang akan menjadi pemandu pelancong kami di China
Konvoi akan berada di China selama 4 hari dan akan kembali ke Malaysia melalui Laos semula nanti, seterusnya memasuki Thailand dan singgah sebentar ke Myanmar.
Apa pun kini, konvoi telah meneruskan perjalanan meninggalkan sempadan Botene/Mohan menuju ke bandar Mengla, sebuah bandar kecil yang pertama berhampiran sempadan.